Press
Bernama
Berita Harian
The Borneo Post
Eastern Times
News Straits Times
Sarawak Tribune
Utusan Sarawak
The Malaysian Today
The Star
Utusan Borneo
Utusan Malaysia
Borneo Bulletin, Brunei

 
Business Enquiry
Sidang video diperluas di semua mahkamah

(Berita Harian; February 6, 2007)

KUCHING: Jabatan Kehakiman akan memperluaskan penggunaan sistem persidangan video dan telefon ke semua mahkamah di seluruh negara ke arah meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan perundangan negara.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, berkata usaha itu akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan kerjasama Mahkamah Tinggi Sabah/Sarawak dan Sarawak Informations System Sdn Bhd (Sains).

"Sarawak adalah negeri pertama menggunakan sistem ini. Ia terbukti menjimatkan masa, selain kos berkaitan yang terpaksa ditanggung mahkamah dan pengamal undang-undang, terutama dalam soal pengendalian sesuatu kes.

"Jika Sarawak boleh melaksanakannya, saya yakin sistem ini boleh digunakan di semua mahkamah di seluruh negara kerana manfaatnya memang cukup banyak," katanya kepada media, di sini, semalam.

Beliau sebelum itu melancarkan Sistem Persidangan Telefon/Video, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan Sistem Carian Fail (FTS) Bagi Mahkamah Sarawak, di Kompleks Mahkamah Kuching, di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Richard Malanjum dan Ketua Pegawai Eksekutif Sains, Teo Tee Kiong.

Fairuz ketika mengulas lanjut berkata, melalui sistem canggih itu, mereka yang terbabit dalam prosiding kes tidak perlu menghadirinya secara fizikal yang sememangnya membabitkan kos tinggi, terutama apabila ke luar daerah.

"Mereka hanya perlu ke Bilik Persidangan di Mahkamah Kuching, Mahkamah Miri, Mahkamah Bintulu dan Mahkamah Sibu untuk mengendalikan kes. Sarawak boleh jadi model pelaksanaan sistem ini di seluruh negara," katanya.

Katanya, sistem itu juga boleh dihubungkan dengan polis dan Jabatan Penjara, khusus bagi menyelaraskan proses mendapat atau melanjutkan perintah tahanan reman seseorang suspek jenayah.

"Ini bukan saja menjimatkan masa dan kos malah boleh mengurangkan risiko keselamatan," katanya.

Fairuz berkata, sistem baru itu juga sebahagian usaha penambahbaikan mutu perkhidmatan mahkamah, terutama dalam mengatasi masalah lambakan kes lapuk sebelum ini.

Katanya, kebanyakan kes lapuk berpunca dari pengurusan masa dan faktor berkaitan, termasuk fail kes hilang di mahkamah seperti yang sering diadukan pihak peguam.

"Sebab itulah, kita perkenalkan SMS dan FTS. Melalui SMS, sesiapa saja yang terbabit dalam sesuatu perbicaraan kes boleh dimaklumkan mengenai perkembangan terkini kes masing-masing.

"Ini termasuk perubahan jadual, bila tarikh dan masa prosiding dan di mahkamah mana. Dengan cara ini, peguam atau sesiapa yang terbabit tidak akan terlewat menghadiri perbicaraan hingga menyebabkan kes tertangguh," katanya.

FTS pula, katanya, membolehkan setiap fail kes dikesan melalui sistem rekod berkomputer di mahkamah melalui nombor siri (bar code) yang dicatatkan pada setiap fail.

Back to top
Privacy Policy. Copyright © 2007 SAINS. All Rights Reserved. | Best viewed Internet Explorer +6