(BERNAMA; November 6, 2006)
KUCHING -- Perkhidmatan awam di Sarawak mempelopori pelaksanaan sepenuhnya sistem persidangan video pelbagai perkara dalam sektor awam di negara ini berikutan pelancaran Sistem Persidangan Multimedia (MCS) di sini Isnin.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata sistem itu, yang dibangunkan oleh Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mencapai kerajaan elektronik (e-government) menjelang 2008.
Beliau berkata pelancaran itu tepat pada masanya dan akan memberi manfaat ketara kepada pejabat kerajaan negeri menerusi rangkaian komunikasi yang dipertingkatkan, terutamanya bagi agensi kerajaan yang mempunyai banyak pejabat di seluruh Sarawak.
"Kini, kita boleh menjimatkan masa untuk melakukan perjalanan, membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas dan mengurangkan kos operasi," katanya ketika melancarkan sistem itu di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya di sini.
Bagaimanapun, beliau berkata pada peringkat ini masih terlalu awal untuk menentukan jumlah perbelanjaan yang dapat dijimatkan oleh kerajaan negeri menerusi MCS.
MCS, yang menggunapakai teknologi daripada Mlabs Systems Bhd (MLABS), dapat memperbaiki cara mesyuarat diadakan, daripada cara konvensional iaitu berbincang secara bersemuka kepada persidangan secara bersemuka tanpa perlu berada dalam bilik yang sama.
Abdul Aziz berkata kerajaan negeri telahpun menerajui MCS di peringkat dalaman di kalangan beberapa kementerian dan Pejabat Residen, pejabat Setiausaha Kewangan Negeri dan pejabat Peguam Besar Negeri.
"Keseluruhannya saya gembira dengan hasilnya dan ingin melihat ia diperluaskan ke semua pejabat perkhidmatan awam di negeri ini dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya.
Abdul Aziz, yang juga timbalan pengerusi SAINS, berkata kakitangan awam di negeri ini perlu menjadikan MCS sebagai sebahagian daripada budaya kerja baru.
"Kini, mesyuarat pegawai residen boleh diadakan dengan lebih kerap dan hasil atau keputusan dapat dilakukan dengan segera. Apa yang kita perlu lakukan ialah memilih masa yang sesuai untuk mengadakan persidangan video," katanya sambil menambah mesyuarat secara konvensional akan diterus diadakan bagi memupuk hubungan sosial.
Abdul Aziz berkata MCS akan dilaksanakan dengan kos infrastruktur yang minimum memandangkan ia memerlukan hanya satu "server" persidangan bagi menguruskan semua unit kawalan dan kos pelaburan dapat diturunkan dengan banyak dan pada masa yang sama, meningkatkan keberkesanannya.
-- BERNAMA |