Press
Bernama
Berita Harian
The Borneo Post
Eastern Times
News Straits Times
Sarawak Tribune
Utusan Sarawak
The Malaysian Today
The Star
Utusan Borneo
Utusan Malaysia
Borneo Bulletin, Brunei

 
Business Enquiry
Lebih RM233j dikutip dari cukai tanah

(Utusan Borneo; Mei 26, 2007)

MIRI, 26 Mei: Kerajaan Negeri memperolehi pendapatan berjumlah RM233,168,921 juta hasil daripada kutipan cukai dan premium sepanjang tahun lalu.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II merangkap Menteri Kemudahan Awam Dato Sri Haji Awang Tengah Ali Hassan berkata, hasil daripada kutipan tersebut akan dimanfaatkan untuk menjana ekonomi negeri Sarawak bagi kesejahteraan rakyatnya sendiri.

Katanya, setakat ini jumlah keseluruhan surat hakmilik di seluruh negeri Sarawak terdapat sebanyak 523,452 dan hanya 390,213 surat hakmilik berbayar.

“Cukai dan premium tanah adalah antara punca pendapatan utama bagi negeri ini dan pembayaran cukai tahunan merupakan pra-syarat bagi pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 13, Kanun Tanah Sarawak dan adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap pemilik tanah di negeri Sarawak menjelaskan cukai tanah dan premium semasa ataupun yang masih tertunggak tanpa gagal,” katanya.

Beliau memberitahu demikian semasa berucap di majlis pelancaran Sistem Pembayaran Cukai dan Premium Tanah Secara ‘Online’ dan Hari Bersama Pelanggan, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Negeri Sarawak di Kompleks Beli-Belah Boulevard di sini, pagi tadi.

Turut sama pada majlis dan sidang akhbar tersebut ialah Menteri Muda Pembangunan Infastruktur dan Perhubungan Lee Kim Shin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Andy Chia, ADUN Lambir Aidan Wing, ADUN Bekenu Rosey Yunus, ADUN Telang Usan Lihan Jok, Pengarah Tanah dan Survei Negeri Sarawak Sudarsono Osman dan Penguasa JTS Miri Abdullah Julaihi.

Bagaimanapun katanya, kutipan hasil cukai tahunan dan premium di kaunter seperti ini dirasakan belum lagi dapat memenuhi hasrat kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan yang lebih berkualiti kerana masa perkhidmatan yang agak terhad.

Selain itu katanya, pemilik tanah menghadapi kesukaran untuk datang ke Pejabat Tanah dan Survei atau Pejabat Daerah kerana terpaksa mengharungi kesesakan lalulintas selain terpaksa menunggu giliran, tidak dapat menyemak cukai tanah dengan tepat semasa membuat pembayaran secara manual terutama di Pejabat Daerah.

“Keterbatasan ini mengakibatkan berlakunya tunggakan cukai dan premium tanah sehingga menyebabkan pemilik tanah terpaksa membayar denda sebanyak 50 peratus kerana lewat tarikh. Selain itu ia akan menyebabkan kerajaan tidak dapat mengutip hasil sepenuhnya daripada cukai dan premium tanah hingga menyebabkan pendapatan negeri Sarawak berkurangan,” katanya.

Justeru katanya, pengenalan sistem pembayaran cukai dan premium tanah secara ‘online’ yang dilancarkan hari ini, bukan sahaja diharap dapat memberi keselesaan kepada pemilik tanah tetapi membolehkan mereka membayar mengikut kesesuaian waktu.

“Satu kelebihan perkhidmatan ini ialah setiap sesiapa sahaja boleh mendaftar dan membayar cukai tanah dan premium untuk mana-mana surat hakmilik,” katanya sambil menyeru orang ramai khususnya pembayar cukai dan premium supaya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan itu.

Back to top
Privacy Policy. Copyright © 2007 SAINS. All Rights Reserved. | Best viewed Internet Explorer +6