( Utusan Sarawak ; September 24, 2005 )
KUCHING, Jumaat - Semua organisasi kerajaan di negeri ini harus mempunyai laman web sendiri supaya pelbagai maklumat lebih cepat dan mudah diakses. Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Haji Abdul Aziz Husain berkata, kerajaan mahu menjadi model terbaik dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negeri ini sebagai persediaan ke arah k-masyarakat dan
menuju Kerajaan Elektronik (EG).
Menurutnya, Anugerah Laman Web Terbaik yang dianjurkan setiap tahun adalah satu usaha kerajaan untuk memastikan setiap organisasi kerajaan mempunyai laman web sendiri. "Sejak menganjurkan Anugerah Laman Web Terbaik Perkhidmatan Awam lima tahun lalu, kita telah melihat peningkatan dan kualiti sektor kerajaan dari tahun ke tahun dalam membangun dan menyediakan maklumat dalam talian yang berinformasi, terkini dan interaktif melalui
laman web masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Laman Web Terbaik Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2005 di salah sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.
Menurutnya, maklumat yang dimuatkan di dalam Laman Web tidak semestinya yang berkaitan dengan organisasi semata-mata, sebaliknya meliputi maklumat yang berkaitan dengan negeri Sarawak dan Malaysia.
"Maklumat yang disebarkan di dalam Laman Web hendaklah maklumat yang lebih menjurus kepada ilmu pengetahuan yang boleh dikongsi bersama, bukannya perkara-perkara yang negatif," jelasnya.
Katanya, selari dengan perubahan zaman pada hari ini penguasaan dalam bidang ICT adalah amat penting. "Kini segala maklumat boleh kita dapat dengan cepat dan pantas. Inilah yang dikatakan dunia tanpa sempadan. "Apa yang kita kehendaki ialah kesedaran dalam diri masyarakat untuk bergerak seiring dengan perubahan di sekeliling mereka," ujarnya.
Pertandingan Laman Web Terbaik Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2005 adalah anjuran Unit ICT, Jabatan Ketua Menteri sempena Minggu ICT Sarawak 2005 dan Bulan ICT Malaysia 2005. la diadakan selaras dengan dasar kerajaan untuk meningkatkan kualiti penyebaran maklumat dan perkhidmatan dalam talian kepada orang awam dan komuniti perniagaan dan mempromosikan perkhidmatan dan peluang yang ditawarkan oleh agensi-agensi kerajaan.
Bagi kumpulan Kementerian dan Jabatan Kerajaan kategori in-house, johan telah dimenangi oleh Jabatan Residen Mukah, kedua, Unit Pemantauan Pelaksanaan Projek (SIMU) manakala hadiah sagu hati dimenangi oleh Pejabat Daerah Mukah dan Pejabat Residen Betong.
Johan kategori outsource pula dimenangi oleh Pejabat Residen Bahagian Kapit manakala hadiah sagu hati di menangi Majlis Adat Istiadat. Kategori in-house kumpulan Pihak Berkuasa Tempatan pula dimenangi Majlis Perbandaran Padawan, kedua, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan sagu hati Majlis Perbandaran Sibu.
Kategori outsource, johan Majlis Bandaraya Kuching Selatan dan Majlis Daerah Saratok, Majlis Daerah Sarikei dan Majlis Daerah Kanowit menerima hadiah sagu hati. Sementara itu, Syarikat SESCo Berhad muncul juara bagi kategori in-house kumpulan Badan-badan Berkanun dan Syarikat Milik Kerajaan, kedua, Lembaga Kemajuan Bintulu dan hadiah sagu hati dimenangi
Yayasan Sarawak.
Bagi kategori outsource pula, tempat pertama dimenangi oleh Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran, kedua, Perbadanan Urusan Kejuruteraan dan Limbungan Brooke dan sagu hati, Lembaga Penyatuan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak.
Bagi Anugerah Pentadbir Laman Web, johan dimenangi oleh Kristofferson Anthony dari Pejabat Residen Mukah, naib johan Nyelang Galungan dari Unit Pemantauan Pelaksanaan Projek (SIMU) dan ketiga, Mustapha Hashim dari Majlis Perbandaran Padawan.
|