Press
Bernama
Berita Harian
The Borneo Post
Eastern Times
News Straits Times
Sarawak Tribune
Utusan Sarawak
The Malaysian Today
The Star
Utusan Borneo
Utusan Malaysia
Borneo Bulletin, Brunei

 
Business Enquiry

Memanfaatkan IT: Perbicaraan pertama melalui persidangan video berjalan lancar

(Utusan Sarawak ; Mac 17, 2007 )

oleh Abart William & Empawi Jabat

KUCHING, Jumaat – Perbicaraan pertama menerusi persidangan video yang dijalankan antara Mahkamah Kuching dan Mahkamah Miri di sini hari ini berjalan lancar.

Perbicaraan yang julung kali diadakan menggunakan kemudahan teknologi tinggi ini sejak dilancarkan Februari lalu, telah membuktikan keberkesanan sistemnya dan memuaskan semua pihak yang terbabit termasuk hakim dan peguam.

Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak Gabriel Gumis Humen berkata perbicaraan membabitkan kes sivil menerusi persidangan video hari ini antara Mahkamah Kuching dan Miri telah berjalan dengan lancar tanpa gangguan.

Katanya, kemudahan itu dijayakan hasil teknologi kendalian Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS).

“Proses perbicaraan pertama menerusi persidangan video yang dilancarkan hari ini sejak pelancarannya Februari lalu, telah berjaya dan berjalan dengan lancar.

“Ia telah memuaskan semua pihak terlibat dalam perbicaraan itu,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan bersama Mahkamah Miri menerusi persidangan video itu di Mahkamah Kuching di sini, hari ini.

Hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Pendaftar Nixon Kennedy.

Gabriel berkata, peguam di negeri ini harus mengambil kesempatan menggunakan kemudahan ini kerana ia dijamin berkesan selain dapat mengurangkan kos perbicaraan mereka.

Pada peringkat ini, kemudahan persidangan video hanya terdapat di Mahkamah Kuching dan Miri.

Ditanya tentang caj yang dikenakan oleh mahkamah kepada pengguna kemudahan ini, Gabriel menjelaskan bahawa mahkamah telah menetapkan tiga bulan sebagai tempoh percubaan.

Katanya, dalam tempoh ini mahkamah tidak mengenakan sebarang caj kepada pengguna.

“Setakat ini belum ada caj dikenakan, bagaimanapun kita akan menetapkan caj kepada pengguna kemudahan ini selepas tamat tempoh percubaan itu,” jelas beliau.

Mahkamah Sibu dan Bintulu yang belum memiliki peralatan persidangan video telah dilengkapi dengan kemudahan persidangan tele.

Persidangan pertama hari ini telah membabitkan satu kes sivil yang didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuching David Wong Dak Wah.

Kes ini melibatkan seorang defendan dari Kuching dan plaintif dari Miri,

Defendan diwakili oleh peguam James Lo di Kuching manakala plaintif diwakili oleh peguam Mekanda Singh Sandhu di Miri.

Perbicaraan itu berlangsung hampir sejam sebelum tamat.

James ketika diminta mengulas perbicaraan menggunakan kemudahan berkata, ia amat mudah dan selesa selain menjimatkan kos.

Katanya, peguam lain harus menggunakan kemudahan ini dengan sepenuhnya,

Sementara itu, Mekanda yang menyifatkan kemudahan ini sebagai langkah ke hadapan mahkamah turut meluahkan rasa bangga beliau dengan system itu.

“Saya dan anak guam saya tidak perlu ke Kuching dan ini telah menjimatkan kos perbicaraan seperti pengangkutan dan penginapan,” ujarnya sambil turut mengalu-alukan supaya peguam lain menggunakan kemudahan ini untuk keselesaan masing-masing.

Back to top
Privacy Policy. Copyright © 2007 SAINS. All Rights Reserved. | Best viewed Internet Explorer +6