( Utusan Sarawak ; August 14th 2004 )
MIRI, Jumaat - Sistem komputer dan program Kerajaan Negeri sudah dipertingkatkan bagi memastikan ia lebih kebal dan tidak mudah digodam oleh penceroboh yang berhasrat melakukan pelbagai penipuan, terutama menggunakan sistem elektronik.Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Haji Abdul Aziz Husain berkata, pihaknya belajar daripada kesilapan sebelum ini dan hasilnya sistem yang sedia ada juga akan dipertingkatkan dari masa ke semasa selaras dengan kemajuan dunia teknologi maklumat (IT).Dalam masa yang sama, katanya, sistem pemeriksaan dan baki turut digunakan bagi menjamin mereka yang dipertanggungjawab untuk mengendalikan sistem komputer dan program itu tidak menyalahgunakan kepakaran masing-masing untuk menipu mana-mana agensi kerajaan.
"Apa yang paling penting ialah kita sudah melakukan perubahan kepada sistem berkenaan bagi mengatasi kelemahannya. Kita tidak mahu kes penyalahgunaan IT untuk pengeluaran wang secara haram berulang lagi," katanya ketika ditemui selepas perasmian Seminar Teknologi Maklumat dan Pengurusan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Ditanya tentang kes-kes penyalahgunaan kepakaran yang dilakukan pihak tertentu sebelum ini, Aziz berkata pihaknya merekodkan beberapa kes tetapi tidak pasti berapakah jumlah sebenarnya.
"Kita sudah meminta mereka yang berkenaan membayar balik wang yang mereka salurkan keluar secara haram dari perbendaharaan kerajaan," katanya.
Mengenai jumlahnya pula, beliau berkata ia mencecah RM500,000 dan ini berlaku dalam tempoh dua hingga tiga tahun sebelum ini.Terdahulu dalam ucapannya, Aziz mengingatkan para peserta seminar yang terdiri daripada ketua dan pegawai kanan jabatan Kerajaan dan swasta agar menerima setiap perubahan dan melengkapi diri sendiri dengan pelbagai ilmu agar seiring dengan proses perubahan ini.Beliau meminta para peserta lebih berhati-hati dan berdisiplin dalam menjalankan tugas seharian bagi mengelak kecuaian atau membuat keputusan yang salah.Katanya, perancangan yang berhati-hati dan persediaan yang mencukupi seharusnya dijadikan salah satu budaya kerja yang perlu ada di dalam setiap organisasi.
|