( Utusan Sarawak ; December 19, 2002 )
KUCHING, Rabu - Semua jabatan dan agensi kerajaan perlu membangun dan menyelenggarakan laman web mereka sendiri selaras dengan polisi yang ditetapkan kerajaan negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Haji Abdul Aziz Husain memberitahu, sudah menjadi polisi kerajaan yang mahukan semua jabatan dan agensi kerajaan bukan sahaja membangunkan laman web sendiri tetapi bertanggungjawab mengemas kini laman web mereka.
Menurutnya, setiap laman web yang dibangunkan juga perlu berdaftar dengan Unit Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT), Jabatan Ketua Menteri dan mesti dihubungkan dengan portal utama milik kerajaan negeri.
Saya ulangi di sini bahawa menjadi polisi Kerajaan Negeri agar semua jabatan dan agensi kerajaan membangunkan laman web mereka sendiri.
"Saya berharap semua jabatan dan agensi kerajaan bersedia membangunkan laman web mereka sendiri dan jika belum, mereka telah melanggar polisi ini," tegasnya semasa berucap pada majlis pelancaran laman web "My One-Stop Sarawak (MOSS) dan anugerah laman web terbaik perkhidmatan awam negeri Sarawak 2002 yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Information System Sdn. Bhd. (SAINS), Encik Teo Tien Hiong, Pengarah Unit Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT), Jabatan Ketua Menteri, Encik William Patrick Nyigor serta tetamu-tetamu yang lain.
Menurut beliau, tidak ada alasan lagi kepada jabatan dan agensi kerajaan mereka kerana semua orang tahu kepetingan wujudnya laman web ini.
Katanya, laman web sekarang digunakan sebagai saluran untuk memberi perkhidmatan berkualiti kepada orang ramai terutama pelanggan. "Laman web kini menjadi alat komu-nikasi yang semakin penting dan saluran perkhidmatan dan akan menjadi lebih pen-ting serta saluran strategik pada masa akan datang.
"Sebab itu kita mahu semua jabatan dan agensi kerajaan supaya membangunkan laman web mereka sendiri dan pertandingan ini sebagai salah satu bukti komitmen kerajaan negeri."
"Kita mahu jabatan dan agensi kerajaan membangunkan laman web sebagai saluran penting menghubungkan setiap agensi dengan pelanggan sama ada di dalam mahupun di luar negeri," tegasnya.
|