news & events

SWIS kumpul data lebih komprehensif

(SAINS News; 18 Mar, 2019)

KUCHING: Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi membangunkan satu sistem dalam talian dikenali Sistem Maklumat Tenaga Kerja Sarawak (SWIS).

Menterinya, Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, SWIS merupakan satu sistem dalam talian berasaskan web untuk memperolehi dan mengunjurkan penawaran dan permintaan pekerjaan semasa di Sarawak.

“Salah satu daripada cabaran utama yang kita hadapi dalam menjalankan perancangan tenaga kerja adalah ketiadaan data dan ia menyukarkan kita mengumpul penawaran dan permintaan.

“Bagi menangani ini, kementerian saya telah bekerjasama dengan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) untuk membangunkan SWIS yang dilancarkan hari ini (semalam),” katanya.

Beliau berkata demikian demikian pada Pameran Latihan dan Kerjaya Sarawak (SCaT Fair) Ke-8 dan pelancaran SWIS yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Majlis turut dihadiri Pengerusi TEGAS, Datu Len Talif Salleh dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian.

Tambah Manyin, data akan dikumpulkan dari sumber institusi pendidikan dan latihan digunakan untuk penawaran pekerjaan dan dari pihak industri serta perdagangan bagi tujuan permintaan pekerjaan.

“Dengan SWIS, pengumpulan data akan lebih komprehensif dan sistematik serta menyediakan statistik yang boleh dipercayai untuk dianalisis,” katanya sambil memberitahu, ia sangat berguna kepada semua pihak yang berkepentingan dalam perancangan mereka.

Namun kata beliau, kejayaan sistem ini sangat bergantung pada kesediaan institusi dan industri untuk menyediakan data memandangkan matlamat utama SWIS adalah untuk memberi manfaat kepada kedua-dua industri dan institusi.

“Saya menggesa mereka semua untuk menyokong SWIS dan memasukkan data yang diperlukan ke dalam sistem.

“Semua data sumber akan disimpan dengan selamat dan pangkalan data dengan akses yang ketat,” katanya.

Sementara itu, Len Talif dalam ucapannya berkata, seminggu selepas penganjuran SCaT Fair yang diadakan bermula pada 15 hingga 17 Mac itu, TEGAS akan mengadakan satu jelajah pendidikan terbesar iaitu ‘Project of Dreams Realized’ (PRO-DR).

Katanya, ia diadakan bersama 40 institusi pendidikan yang bermula dari Lundu hingga ke Lawas dalam jangka masa dua minggu bermula dari 25 Mac 2019.

“Ia bagi membolehkan belia dan pelajar di luar bandar juga menikmati peluang hampir sama dengan pelajar di bandar,” katanya.

Mengenai SCaT Fair katanya, jumlah pengunjung pameran pada tahun lepas dianggarkan 18,000 dan berharap tahun ini bertambah kepada 20,000 untuk acara tiga hari. – Jessica Jawing (Utusan Borneo)

 

More News & Events