news & events

Abang Johari mengimbas kod QR Sarawak Pay Masjid Darulhana Patingan sebagai penderma pertama menggunakan aplikasi tersebut.

Masjid Darulhana Patingan, masjid pertama guna Sarawak Pay

(SAINS News; 17 Jun, 2019)

KUCHING: Masjid Darulhana Patingan menjadi masjid pertama menggunakan aplikasi Sarawak Pay untuk mengumpul dana bagi membiayai projek pembesaran  masjid ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak Pay bukan sahaja boleh digunakan bagi tujuan pembayaran bil utiliti dan sebagainya.

Tetapi ia juga boleh digunakan sebagai saluran untuk masyarakat menghulurkan sumbangan untuk membantu pihak masjid mengumpul dana yang diperlukan.

"Saya minta  Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) menubuhkan akaun Sarawak Pay untuk  masjid ini sebagai saluran kepada penderma.

"Dengan itu, masjid ini adalah yang pertama menggunakan Sarawak Pay untuk menderma," katanya ketika pada Ramah Tamah Aidilfitri Kampung No 6 Patingan di perkarangan Masjid Darulhana Patingan di sini malam tadi.

Kurang daripada satu jam selepas Sarawak Pay digunapakai bagi masjid tersebut, sejumlah RM1,078 sumbangan berjaya dikumpul dari pelbagai individu.

Pada majlis itu, Abang Johari turut berkongsi projek besar yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak bagi kawasan Patingan meliputi kawasan dari Kampung No 6 dan sekitarnya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai projek tersebut sehingga semua perancangan  selesai.

Apa yang pasti menurut Abang Johari, projek itu nanti akan melengkapi projek Kampung Warisan Melayu yang mana kini sedang dalam perlaksanaan secara berperingkat.

Hadir sama isteri ketua menteri Datin Patinggi Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang, Pengerusi Masjid Darulhana Patingan, Zamahari Hashim dan Pengerusi Lembaga Amanah Kaum Muslimin Kampung Patingan, Datuk Abdillah Abdul Rahim.

- Agnes Tugong, Utusan Borneo

More News & Events